MEDIA

MEDIA COVERAGE: 2011

 

← Back

 

CyberSecurity Dipilih Semula Sebagai Pengerusi OIC-CERT

 

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) — CyberSecurity Malaysia dilantik semula untuk tempoh dua tahun lagi sebagai Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam-Pasukan Bertindak Kecemasan Komputer (OIC-CERT) pada Persidangan tahunan dan Mesyuarat Agung Ketiga yang berlangsung di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu baru-baru ini.

 

Mesyuarat yang diadakan mulai 26 hingga 28 Sept itu, dianjurkan bersama oleh CyberSecurity Malaysia dan Pasukan Bertindak Kecemasan Komputer Emiriyah Arab Bersatu (aeCERT), satu inisiatif di bawah Pihak Berkuasa Kawal Selia Telekomunikasi UAE (TRA).

 

CyberSecurity Malaysia merupakan pusat pakar teknikal keselamatan siber negara di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia.

 

Pengerusi CyberSecurity Malaysia Jeneral (B) Tan Sri Panglima Mohd Azumi Mohamed berkata: "OIC-CERT melalui banyak perkembangan sejak idea itu dimulakan pada 2005. Kerjasama itu kini mempunyai 22 pasukan dari 18 negara OIC dan dua anggota profesional. "

 

"CyberSecurity Malaysia berbangga diberi kepercayaan untuk terus menerajui usaha-usaha keselamatan siber OIC. Ia merupakan pengiktirafan kepimpinan, profesionalisme dan kepakaran teknikal CyberSecurity Malaysia oleh OIC-CERT dalam bidang keselamatan siber.

 

Tema tahun ini, "Memahami dan Membanteras Jenayah Siber" merupakan petanda baik dengan usaha-usaha OIC-CERT untuk menangani isu-isu berkaitan jenayah siber melalui usaha bersama di kalangan anggota dan kerjasama serantau sebagaimana yang dinyatakan dalam memorandum pesefahaman yang ditandatangani antara CERT Asia Pasifik (APCERT).

 

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Lt Kol (B) Prof Datuk Husin Jazri berkata kerjasama dengan APCERT merupakan satu lagi pencapaian oleh OIC-CERT.

 

– BERNAMA